Kerap kali kita mendengar malah ada yang pernah berdepan dengan isu cemburu dan irihati dalam kehidupan seharian khususnya dalam kehidupan berumahtangga dan berkeluarga. Kedua-dua isu cemburu dan irihati dalam realiti kehidupan mempengaruhi kesejahteraan diri.
Disebabkan cemburu muncul tindakan-tindakan di luar pertimbangan kewarasan akal dalam perhubungan suami isteri atau di kalangan pasangan bercinta dalam bentuk penderaan lisan, fizikal dan mental. Jika cemburu tidak dikendalikan, diurus hingga berlarutan dalam suatu jangkamasa ia boleh menjadikan kehidupan berumahtangga dan berkeluarga tidak tenteram jauh sekali harmoni dan di tahap yang melampau boleh berakhir dengan tragedi.
Dan dalam interaksi sosial, perhubungan sosial menjadi tengang hingga terjejas silaturahim gara-gara isu irihati yang tidak dapat dibendung. Akibat irihati, ramai yang tidak tenteram jauh sekali aman damai. Irihati membelenggu, menghadkan diri untuk melangkah ke hadapan dalam usaha untuk mempertingkatkan ketrampilan, kebolehan, kelebihan malah kekuatan diri dalam kehidupan peribadi mahupun profesional.
Memandangkan isu cemburu dan irihati merupakan antara permasalahan psikologikal kehidupan wajar sekali kedua-kedua isu cemburu dan irihati diketengahkan dalam suasana pertukaran dan perkongsian maklumat. Menerusi bengkel cemburu dan irihati yang julung-julung kali diadakan di Malaysia ini, ia dapat membantu mengenal, memahami aspek-aspek psikologikal cemburu dan irihati yang kerap membelenggu diri. Oleh itu Psychology Learning Training menjemput anda untuk menghadiri satu-satunya bengkel unik ini.